Ini adalah salah satu idamanku.. bukan jadi surirumahtangga sepenuh masa.. tetapi jadi housewife cum bisneswoman . Seronok kan??? Tapi, sebelum menjadi work at home mom ni..kenalah tahu tips-tips yang patut atau tak patut di lakukan ketika bekerja dari rumah..supaya jadual waktu lebih tersusun, kerja terurus dan bisnes lebih lancar. Pada wanita yang dah mula bekerja dari rumah pon bole baca....
Menjadi ibu yang bekerja dari rumah ialah satu cara yang baik untuk menyumbang kepada pendapatan keluarga dan pada masa yang sama masih boleh berada di sisi anak-anak. Apa yang anda perlukan untuk berjaya ialah perancangan awal dan pengurusan yang baik.
Adakah saya masih memerlukan khidmat penjagaan anak jika saya bekerja dari rumah?
Untuk memastikan anda dapat menyiapkan semua kerja dari rumah, anda pasti memerlukan khidmat penjagaan anak. Terdapat banyak pilihan khidmat penjagaan anak yang berlainan, oleh itu ambillah masa untuk melihat apa yang sesuai bagi anda. Pilihan khidmat penjagaan anak yang tepat dapat memberi anda kebebasan untuk menumpukan perhatian terhadap kerja kerana anda tahu bahawa anak anda dijaga dengan baik.Sekiranya anda memilih kaedah penjagaan anak di rumah sendiri, contohnya dengan mengambil pembantu rumah atau pengasuh, kerja anda mungkin terganggu. Namun pada masa yang sama, anda mungkin lebih yakin kerana anak anda dan penjaganya sentiasa berada dekat dengan anda.
Namun begitu, bergantung kepada jenis kerja yang anda lakukan, anda mungkin boleh melakukannya tanpa bantuan khidmat penjagaan anak. Berilah anak anda mainan atau pasangkan DVD kegemarannya ketika anda membuat panggilan atau menghantar e-mel.
Bagaimana saya dapat menyiapkan kerja-kerja rumah dan bekerja pada masa yang sama?
Anda mungkin perlu meminimakan masa untuk menyiapkan kerja-kerja rumah dan masa makan. Cubalah tip-tip berikut:- Buat kerja-kerja rumah pada masa yang sama setiap hari dan dalam tempoh masa yang tetap. Contohnya, selama setengah jam pada waktu pagi, kemudian berhenti. Atau, buatlah satu atau dua tugas sahaja setiap hari. Jadual waktu harian dapat membantu dalam perkara ini. Jangan streskan diri anda dengan cuba untuk membuat segala-galanya pada masa yang sama.
- Kemas rumah setiap hari. Tak kisahlah jika ia sedikit berhabuk, asalkan ia kelihatan kemas.
- Mintalah suami, ibu atau anak yang lebih besar untuk menolong. Berikan tugas kepada semua orang. Mungkin anda juga boleh menawarkan imbuhan yang sesuai sebagai insentif.
- Rancangkan menu masakan dan masaklah masakan yang mudah sahaja. Anda juga boleh masak dalam kuantiti yang banyak dan bekukan dalam peti sejuk.
- Rancangkan masa untuk berbelanja di pasaraya supaya masa anda tidak terbuang dalam kesesakan lalu lintas atau barisan panjang di kaunter bayaran.
Bagaimana saya boleh menguruskan masa untuk bekerja dari rumah dan menjaga anak?
Menguruskan keluarga adalah satu pekerjaan sepenuh masa. Jadi, bagaimana anda boleh mencuri masa untuk membuat kerja? Cubalah tip-tip berikut:- Pilihlah masa yang sesuai untuk anda membuat kerja, dan uruskan hal penjagaan anak untuk disesuaikan dengan masa ini. Contohnya, jika minda anda paling cergas pada waktu pagi, dapatkan khidmat penjagaan anak pada waktu tersebut. Dengan cara ini, anda mempunyai satu tempoh masa yang tetap setiap hari untuk menyelesaikan tugas-tugas anda.
- Pekerjaan dari rumah berpotensi untuk menjadi besar apabila anak anda semakin membesar dan mula bersekolah. Anda boleh mula secara beransur-ansur, dan meningkatkan masa bekerja pada masa hadapan.
- Carilah sesuatu yang tidak begitu memberi tekanan apabila anda mula bekerja dari rumah, walaupun sebelum ini anda sudah biasa melakukan tugas-tugas yang sukar dan membuat anda stres. Kerja-kerja yang memberi tekanan dan mempunyai tarikh mati yang ketat boleh menyebabkan anda terlebih stres.
- Jika anda merancang untuk bekerja dan pada yang sama menjaga bayi yang masih kecil, anda mungkin tidak dapat satu tempoh masa yang tetap untuk membuat kerja. Ini kerana, setiap bayi adalah berlainan, dan tidak ada jaminan bahawa bayi anda akan tidur selama tiga jam setiap pagi supaya anda dapat membuat kerja.
- Jangan gunakan setiap minit yang terluang dengan bekerja. Penting bagi anda untuk berehat dan meluangkan masa untuk diri sendiri.
- Tidak dapat mencari masa untuk membuat perkara lain? Catitkan bagaimana anda menggunakan masa anda selama beberapa hari. Bolehkah anda mengurangkan masa menonton TV, melayari internet, menelefon kawan-kawan atau menghantar e-mel?
- Sesekali, pergilah ke rumah ibu bapa atau rakan anda dengan membawa komputer riba bersama dan bekerjalah tanpa gangguan sepanjang hari. Waktu seperti ini dapat digunakan dengan produktif sekali.
Bagaimana saya boleh mendapatkan sokongan apabila bekerja dari rumah?
Bekerja dari rumah akan lebih mudah jika anda mendapat sokongan daripada orang yang penting dalam hidup anda seperti suami, keluarga dan rakan-rakan. Libatkanlah mereka dalam perancangan anda, bincangkan matlamat anda dan kongsilah kejayaan dengan mereka.Buatlah perancangan yang mudah dengan matlamat yang realistik. Kemudian tunjukkan kepada mereka dan mintalah sokongan daripada mereka untuk membantu mencapai matlamat anda. Oleh itu, jika anda perlu menyiapkan kerja pada setiap pagi Sabtu, contohnya, mintalah suami atau saudara-mara untuk membawa anak anda keluar.
Fleksibelkan kerja anda, dan jika sesiapa menawarkan diri untuk membantu, carilah jalan untuk menunjukkan penghargaan anda. Kadang-kala, ucapan terima kasih sahaja pun sudah mencukupi.
Semak semula jadual kerja dan kaedah penjagaan anak dengan kerap untuk memastikan segala-galanya berjalan dengan lancar. Pastikan juga bahawa anak dan suami anda turut gembira. Dengan cara ini, anda dapat berbincang dengan mereka dan mengubah rutin anda sekiranya terdapat apa-apa masalah.
Bagaimana cara untuk mendapatkan ruang bekerja di rumah?
Sukar untuk anda bekerja dengan efektif tanpa ruang bekerja khas untuk anda. Ruang yang kecil pun sudah mencukupi.Lihatlah di sekitar rumah anda untuk mencari ruang yang sesuai. Jika tiada bilik yang boleh dikhaskan untuk tujuan ini, fikirkan samada anda boleh membuat ruang bekerja di ruang tamu, bilik tidur, sudut kecil malah bilik setor atau bilik utiliti.
Idealnya, carilah ruang di mana kerja anda boleh ditinggalkan supaya anda tidak perlu menyimpannya setiap kali. Jika perlu, simpan barang-barang kerja di mana anak anda tidak dapat mencapainya, seperti di rak yang tinggi atau almari yang boleh dikunci.
Lengkapkan juga ruang bekerja anda dengan peralatan yang anda perlukan untuk bekerja:
- kerusi yang selesa;
- meja atau permukaan rata untuk anda membuat kerja;
- lampu meja;
- kotak atau fail-fail untuk menyusun kertas kerja;
- rak atau laci plastic untuk menyimpan kerja anda;
- komputer, jika perlu, dengan internet dan perisian anti virus yang terkini;
- akses kepada telefon (talian khas mungkin berguna);
- alatulis
Bagaimana saya boleh mengelakkan gangguan semasa bekerja dari rumah?
Beritahu rakan-rakan dan keluarga tentang waktu bekerja anda, dan minta supaya mereka tidak menghubungi anda pada waktu tersebut. Jika anda serius tentang kerja anda, orang lain pun akan buat perkara yang sama.Anda juga mungkin perlu mendapatkan talian telefon khas untuk kerja anda. Sebagai alternatif, saring panggilan, dan guna peti simpanan suara atau mesin menjawab telefon. Jika rakan anda menelefon semasa anda sedang bekerja, janganlah berborak, sebaliknya beritahu dia bahawa anda akan menelefon semula selepas selesai bekerja.
Ingatlah bahawa bersendirian dan bekerja boleh jadi sukar. Oleh itu, cubalah keluar sekali-sekala untuk menghadiri majlis-majlis sosial atau kemasyarakatan berdekatan tempat anda.
Yang penting sekali, kuncinya ialah pengurusan yang baik dan bersikap fleksibel. Jika anda mendapat bantuan sebanyak mana yang boleh, anda pasti dapat bekerja dari rumah dengan baik dan seronok melakukannya. [sumber]
No comments:
Post a Comment